Monday, January 25, 2010

Naik Bajaj Di Jakarta

Semasa Pak Anjang dan Mak Anjang bercuti di Jakarta bulan Disember yang lalu, kami mencuri peluang untuk mendapat pengalaman menaiki sejenis 'Angkot' atau Angkutan Kota yang terkenal dalam Bandaraya Jakarta, atau Jakarta Pusat. Kenderaan itu dikenali sebagai 'BAJAJ' disebut 'bajai'.


Salah satu BAJAJ yang terdapat di Jakarta Pusat

Selepas mendapat sedikit maklumat mengenai BAJAJ dari pemandu wisata kami, Pak Anjang bercadang membawa Mak Anjang keliling Jakarta Pusat. Pemandu wisata kami mencadangkan kami ke Pasar Baru atau Metro yang terletak kira-kira 6 km dari tempat kami berhenti. Di sana katanya, kami boleh membeli belah dan juga mengurup wang kerana Pak Anjang sudah kehabisan matawang Rupiah.


Lihat peta, Metro (Pasar Baru) adalah destinasi kami


Untuk menyewa BAJAJ ini, kita perlu beritahu kepada pemandunya sama ada dia sanggup membawa kita ke sesuatu tempat yang kita tujui kerana kesesakan trafik yang begitu teruk di Jakarta Pusat. Selepas tawar menawar kami bersetuju untuk membayar Rp25,000 (lebih kurang RM10 untuk satu perjalanan ke Pasar Baru.


BAJAJ ini mudah didapati di mana-mana jua jalanraya di Jakarta Pusat

BAJAJ yang menggunakan enjin skuter 150cc itu mempunyai tempat duduk belakang yang hanya muat untuk dua orang berbadan sederhana, iaitu lebih lebar sedikit dari beca roda tiga. Cuma BAJAJ ini mempunyai bumbung yang diperbuat daripada kain kanvas.


Antara pemandangan lalulintas di Jakarta Pusat

Yang menariknya, BAJAJ ini tidak perlu mengikut jalan raya biasa. Di mana ada jalan pintas, BAJAJ ini akan masuk, hatta di lorong-lorong belakang sekali pun demi menjimatkan masa. BAJAJ kami melalui lorong-lorong kecil yang sesak dan ada juga tempat-tempat berbau longkang kurang enak.


Satu pemandangan kawasan penempatan di Jakarta.
Kabarnya populasi Jakarta waktu siang ialah 9 juta, malam 4 juta!

Dalam perjalanan itu sempat Pak Anjang berbual dengan supirnya (pemandu), yang separuuh abad umurnya, bertanyakan undang-undang yang digunapakai oleh kenderaan kecil ini. Kata supir itu, tidak banyak sangat peraturan, antaranya BAJAJ ini boleh mengambil jalan pintas yang dilarang kepada kenderaan lain.


Foto kami dalam BAJAJ yang sedang bergerak.
Lihat betapa sempitnya tempat duduk kenderaan itu

Lebih kurang 20 minit kami pun tiba di Pasar Baru Metro tersebut. Di sana sempat kami membeli-belah dan menukar wang Rupiah sebanyak Rp 1 juta. Kalau di Jakarta, kita sudah jadi jutawan!


Kesibukan trafik di Jakarta Pusat jam 9 pagi (WIB)

Hampir sejam kami menyusur toko-toko (kedai) yang menjual berbagai barangan, terutamanya pakaian dan kain ela, kami pun berangkat pulang. Kali ini Pak Anjang beranikan diri tawar-menawar tambang BAJAJ. Nasib baik dalam perjalanan pulang kami cuma dikenakan tambang Rp20,000 (RM8) sahaja! oleh supir yang berlainan!

Itulah serba sedikit yang dapat diceritakan pengalaman kami di Jakarta.

Tunggu cerita lain pula.

0 comments:

Post a Comment